Cinta Bersatu Liyana Jasmay Dan Fathudin Mazlan Gosip Artis Dan Berita Hiburan Terkini WeGosip

Monday 4 February 2013

Cinta Bersatu Liyana Jasmay Dan Fathudin Mazlan


Hotel Seri Pacific dan Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur menjadi saksi terpatri cinta dua jiwa antara pelakon dan penyanyi Liyana, 25, bersama pasangannya Fathudin, 29. Seorang ahli perniagaan. Majlis akad nikah berlangsung seawal pukul 9 pagi di dewan utama Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur bersaksikan 200 orang tetamu undangan terdiri daripada keluarga, teman rapat dan media.
Sebanyak dua kali lafaz, pada tepat pukul 10.27 pagi Fathudin selamat dinikahkan oleh bapa Liyana sendiri, Datuk Jasmay Md. Shah dengan mas kahwin berupa seutas gelang tangan emas bernilai RM5,500.



"Alhamdulillah, majlis berjalan lancar dan dipermudahkan segala hal. Rasa seperti bermimpi pun ada dan saya bersyukur semuanya selamat dilangsungkan.
"Saya bukan seorang yang terperinci tapi asalkan semua tetamu yang hadir gembira dan biar majlis ini menjadi sebuah majlis yang diingati selamanya," kata Liyana usai majlis pernikahan awal pagi Sabtu lalu.
Menyarung sepasang busana rona putih rekaan pereka fesyen terkenal Jovian Mandagie, Liyana disolek penuh seri oleh jurusolek kegemarannya, Tiar Zainal.
Liyana menerima lima dulang hantaran daripada pihak lelaki berupa tepak sirih, seutas rantai emas, sebuah tas tangan, wang hantaran bernilai RM28,388, dan set barang kemas (seutas rantai, sebentuk cincin dan sepasang anting-anting).
Sementara pihak Fathudin pula dibalas dengan tujuh dulang hantaran iaitu kek, semangkuk buah anggur, dompet jenama Louis Vuitton, sepasang kasut kulit Prada, seutas jam tangan Tag Heuer, sebentuk cincin Bvlgari dan sirih junjung.



 Menyingkap kembali pertemuan mereka, segalanya bermula dengan
SMS daripada Fathudin kepada Liyana yang berbunyi "Hi jiran!"

menurut Liyana, sepanjang melayari alam perkenalan mereka hanya bertemu sebanyak lima kali sebelum memutuskan untuk mendirikan rumah tangga bersama.
"Susah nak dijelaskan sebab saya suka dia (Fathudin) kerana itu terlalu peribadi, tapi apa yang boleh saya katakan dia seorang yang sangat memahami dan kami mudah serasi. Pertama kali berjumpa seperti sudah 10 tahun kenal!
"Dia sangat tenang dan penyabar, mungkin itu daya penarik dia. Walaupun kami berjiran, tidak pernah pula bertegur sapa selama ini," ungkap Liyana mengenai detik awal pertemuan mereka.
Janji Liyana dia bagaimanapun akan cuba menjaga hubungan rumah tangganya bersama Fathudin namun dalam masa yang sama tetap meneruskan kariernya sebagai pelakon, penyanyi dan bakal pengarah.
"Sepanjang kita membesar, personaliti dan kematangan juga berubah. Saya akan cuba untuk melakukan yang terbaik untuk menjaga dia.
"Dari segi lakonan pula saya akan memilih watak yang bersesuaian dengan imej saya sebagai seorang isteri orang, bagaimanapun saya tidak meletakkan syarat. Berlakon adalah kerjaya dan jiwa saya, cuma mungkin tidak sekerap seperti sebelum ini," jelas anak bongsu daripada tiga beradik itu.
Layar seninya bakal dicorakkan dengan warna yang berbeza apabila syarikat produksinya, Mermaid Studio bakal ligat beroperasi.

Bercakap mengenai kontroversi gambar praperkahwinan yang 'terlebih mesra' dan banyak menerima komen negatif peminat selain pertelingkahan yang berlaku dengan jurufoto profesional,Saiful Nang.Kata mereka isu itu tidak menjejaskan kedua-dua majlis pernikahan mahupun persandingan mereka.


Tahniah Liyana Jasmay dan Fathudin Mazlan, semoga kekal bahagia ke akhir hayat...