Norish Karman Jawab Isu Rampas Suami Orang Gosip Artis Dan Berita Hiburan Terkini WeGosip

Monday 4 February 2013

Norish Karman Jawab Isu Rampas Suami Orang



Sebelum ini Wegosip pernah menyiarkan berita panas mengenai Norish Karman(NK) yang dikatakan merampas suami sahabat baiknya sendiri. Terbaharu,NK merasakan sudah tiba masa untuknya bangkit memperjelaskan keadaan sebenar kepada media.

"Semua cerita dan kontroversi yang selama ini dipaparkan oleh pihak media sangat mengaibkan dan menjatuhkan maruah saya. Saya lebih teruk daripada banduan kerana media terus menjatuhkan hukuman kepada saya tanpa mempedulikan berita itu sahih atau tidak," getus Norish dalam nada hiba usai majlis solat hajat dan jamuan makan buat peminat-peminatnya di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Norish mengambil peluang itu untuk beramah-mesra dengan media yang selama ini disifatkannya tidak habis-habis mencungkil cerita panas tentang dirinya.
"Tanyalah saya apa sahaja, selama ini pihak media tidak habis-habis telefon saya minta komen macam-macam cerita," katanya separuh tegas, separuh berseloroh.


Berhubung kontroversi terbaharu dituduh sebagai artis perampas suami orang yang terpalit ke mukanya, ibu kepada empat orang anak itu menjelaskan dakwaan itu adalah kenyataan yang dilemparkan oleh seorang wanita yang pernah dianggap seperti kakak sendiri.

"Tuduhan itu buat saya bertambah sedih dan terkilan. Dia bukan sahaja kawan bahkan saya anggap sebagai kakak sendiri. Saya kenal rapat keluarga tapi tidak perlulah namanya disebut, saya tidak mahu dia pula yang dicerca oleh masyarakat.

"Ini semua kerana cemburu dan iri hati. Dia cemburu kerana anak-anaknya sangat rapat dengan saya. Dia mungkin kurang senang dan fikir saya mahu rampas suaminya. Saya langsung tidak tergamak untuk runtuhkan rumah tangga orang lagipun suaminya sudah berusia 66 tahun," jelas Norish.

Menurut Norish, dia tidak berniat untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang kepada penyebar fitnah berkenaan. Dia cuma kesal kerana hubungan yang terbina selama lima tahun musnah begitu sahaja gara-gara prasangka tanpa usul periksa.